BANDAR JENGKA 27 Mac - Dua beradik muncul juara qariah tilawah al-Quran peringkat sekolah menengah dan rendah pada majlis tadarus al-Quran sempena sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Maran di sini semalam.
Syakirin Rasyida Muhamad Idris, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran mewakili Zon Chenor manakala adiknya, Syakirin Syafiqa, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir (Zon Luit) mengetepikan pesaing mereka pada majlis yang diadakan di SMK Jengka 18 di sini.
Setiausaha Jawatankuasa Induk, Abdul Rahman Ibrahim berkata, majlis tadarus al-Quran dan sambutan Maal Hijrah diadakan serentak membabitkan sekolah menengah dan rendah mengikut zon dalam daerah Maran.
''Selain tilawah, acara lain yang turut dipertandingkan termasuk tahfiz al-Quran, syarahan agama dan bahasa Arab, bercerita kisah-kisah dalam al-Quran, nasyid, kuiz agama, dan menulis jawi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.
Majlis perasmian majlis dan penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.
Hadir sama, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zamri Zakaria dan Pengetua SMK Jengka 18, Zainul Abidin Daud.
Sementara itu, bagi kategori qari, juara peringkat sekolah menengah dimenangi oleh Muhd. Hafizuddin Fuzil dari SMK Seri Jengka.
Pelajar SMK Al-Mahmudi, Firdaus Kamaruzaman muncul juara pertandingan tahfiz al- Quran kategori lelaki manakala Nurul Iffah Athirah Ismail (SMK Jengka Pusat) bagi kategori perempuan.
Pertandingan syarahan agama pula dimenangi Mohd. Zulkarnain Md. Saad (SMK Kampung Awah) bagi kategori lelaki dan dan Siti Aniyah Idris dari sekolah sama bagi kategori perempuan.
Pertandingan syarahan bahasa Arab bagi kategori lelaki dan perempuan didominasi peserta Sekolah Menengah Agama Addini Sultan Ahmad Shah, Jengka iaitu Muhammad Hamdan dan Yusra Ilyani Faridzul Izan.
SMK Desa Jaya pula muncul johan pertandingan kuiz manakala SMK Seri Jengka (naib Johan) dan SMK Tengku Ampuan Afzan,Chenor (tempat ketiga).
Pertandingan nasyid sekolah menengah dimenangi kumpulan Al-Ibrak dari SMK Jengka Pusat 2 manakala kumpulan Al-Ikhwan (SMK Seri Jengka) dan kumpulan Wildani (SMK Jengka 18) masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Pertandingan bercerita kisah-kisah dari al-Quran diungguli oleh murid SK Jengka 20, Mohd. Aniq Najmi Abu Nisa dan Siti Nooreliza Niryana Mohd. Ghazali (SK Jengka 20).
Muhamad Faris Fahmi Mohd. Ghazali dari SK Jengka 21 menjadi johan pertandingan menulis jawi bagi kategori lelaki manakala Nurul Amiza Nasri (SK Jengka 8) bagi perempuan.
Pertandingan nasyid sekolah rendah dijuarai kumpulan Soutul Imtias dari SK Bandar Pusat dan kumpulan Nurul Iman (SK Seri Keramat) serta kumpulan Raudhatul Amni (SK Kampung Awah) masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Johan keseluruhan zon sekolah rendah dimenangi Zon Jengka manakala Zon Chenor muncul johan keseluruhan zon sekolah menengah.
Sumber: Utusan Malaysia, 20 April 2009.