MARAN - Seramai 33 anggota Kadet Pertahanan Awam Malaysia (KAPA) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka menjalani latihan kawad kaki, bermula 23 Mac lalu.
Penasihat KAPA sekolah itu, Adnan Zakaria berkata, latihan itu adalah persediaan untuk menyertai pemilihan anggota KAPA Daerah Maran di SMK Kampung Awah, pada 11 dan 12 April ini.
Menurutnya, anggota kadet yang terpilih akan mewakili daerah itu ke pertandingan Kawad Kaki Unit Beruniform (KRS, GO dan NGO) Sekolah-sekolah Daerah Maran 2009 pada pertengahan April bertempat di SMK Desa Jaya, Bandar Tun Razak Jengka.
"Latihan itu dapat memperkukuhkan lagi kemahiran kawad kaki unit beruniform di peringkat sekolah. Anggota kadet KAPA ini juga akan mengikuti Perkhemahan Kadet Pertahanan Awam Sekolah-sekolah Daerah Maran pada 15 Mei ini di Dataran Chenor", katanya ketika ditemui pada sesi latihan di perkarangan sekolah itu, semalam.
Pada 1 hingga 3 Julai nanti, anggota kadet sekolah itu akan menyertai Pertandingan Kawad Kaki dan Kemahiran Asas Perkhemahan peringkat sekolah.
Adnan berkata, pembabitan remaja dalam pasukan itu diyakini mampu membantu mereka menjadi lebih berwibawa dan cemerlang pada masa depan.
Menurutnya, usaha itu juga mampu membentuk diri generasi muda untuk berkerjasama dan saling hormat menghormati rakan ebaya dan masyarakat.
"Sikat dan semangat sukarela seperti inilah yang kita perlukan untuk bersama-sama dalam masyarakat supaya dapat menangani masalah dengan lebih berkesan," katanya.
Sumber: Sinar Harian, 5 April 2009.