Dunia Pendidikan
 
 
 
Golongan pendidik sokong sekolah harian jadi SBP
 
 

Arts of physics
 



 

Click Here to Advertise On My Blog
 
Perbankan Elektronik
 

Jom Sembang

 
 

Your Ad Here
Pautan Lain


MARAN 5 Jan. - Cadangan kerajaan menaik taraf sekolah menengah harian biasa kepada sekolah berasrama penuh (SBP) mampu memberi peluang kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan utama, meneruskan kecemerlangan mereka.

Ini kerana, bilangan SBP yang terhad menyebabkan ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan terpaksa meneruskan pembelajaran di sekolah menengah harian biasa.

Sehubungan itu, beberapa pendidik di sini mahu cadangan itu diberi perhatian serius bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam akademik dan kokurikulum.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Seri Jengka, Datuk Abdul Fattah Abdullah menyifatkan cadangan itu sebagai bukti keseriusan kerajaan memajukan bidang pendidikan di negara ini.

Katanya, usaha itu dianggap tidak sukar dilaksanakan memandangkan terdapat banyak sekolah yang mempunyai ciri-ciri SBP yang menempatkan pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

''Rekod membuktikan banyak sekolah menengah harian yang cemerlang pada setiap tahun sehingga mampu menyaingi SBP dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Pahang mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bercadang untuk menaik taraf sekolah harian biasa kepada SBP bagi menampung ramai pelajar cemerlang.

Menurutnya, antara sekolah yang layak dijadikan SBP di Pahang ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka di sini kerana ia merupakan sekolah harian biasa yang menjadi antara 10 sekolah terbaik di Pahang dan tempat pertama di daerah ini.

Yang Dipertua PIBG SMK Jengka Pusat, Wan Salman Wan Ismail turut bersetuju jika kerajaan meningkatkan kemudahan di sekolah harian biasa ke taraf SBP kerana semakin ramai pelajar cemerlang dalam peperiksan.

''Jika banyak SBP diwujudkan, ia akan dapat menampung lebih ramai pelajar cemerlang," katanya.

Bagi Yang Dipertua PIBG SMK Jengka 18, Aminallah Mat Long mengakui bilangan yang terpilih masuk ke SBP pada setiap tahun adalah kecil sedangkan jumlah pelajar cemerlang adalah terlalu ramai.

Katanya, dengan menaiktaraf sekolah harian kepada SBP, ia merupakan langkah tepat dalam membantu anak-anak peneroka, pekebun kecil dan nelayan mendapat pendidikan terbaik.

Yang Dipertua PIBG SMK Jengka Pusat 2, Mohd. Saleh Abdullah berkata, mutu pendidikan negara yang semakin meningkat dan mendapat pengiktirafan dunia perlu seiring dengan peningkatan tempat belajar yang lebih kondusif.

''Pelajar cemerlang dalam UPSR dan PMR mungkin kecewa jika gagal terpilih memasuki SBP berikutan tempat yang amat terhad,'' katanya.

Tambahnya, cadangan Timbalan Perdana Menteri itu perlu diambil perhatian serius oleh Kementerian Pelajaran untuk menyediakan bajet khas bagi menaiktaraf sekolah-sekolah yang layak.

Sumber: Utusan Malaysia, 16 Jan 2009.